Wednesday 2 September 2009

hormat


"Penghormatan di beri bukan diminta-minta. Individu dihormati bukan kerana paksaan undang-undang atau akta. Kalau ada sesiapa tidak ingin menghormati Tuan, Mador, Ketua Pejabat, Cikgu atau Raja - tidak ada apa-apa yang boleh di lakukan. Menangkap, merotan atau di masukkan ke dalam penjara - tidak akan melahirkan apa-apa penghormatan.

Che Guevera di hormati oleh anak-anak muda diseluruh dunia bukan kerana ada undang-undang dari Bangsa Bangsa Bersatu atau ada arahan dari IMF atau Mahkamah Dunia. Che diberi penghormatan kerana hati naluri anak-anak muda mahu menghormati. Che Guevera tidak pernah meminta-minta penghormatan ini kerana dia telah lama mati.

Penghormatan yang ditimbulkan melalui undang-undang, kuasa atau pangkat bukan penghormatan – ini penghormatan yang pura-pura. Mahathir satu ketika dahulu di hormati kerana dapat memberi habuan kontrek. Malah Mahathir sendiri sedar hingga dia membebel sesudah kalah untuk menjadi delegasi Kubang Pasu ke Perhimpunan United Malays National Organisation pada tahun 2006 dahulu. Dia membebel kerana tidak ada lagi orang yang datang mencium tangannya.

Lihat pula Abdullah Badawi – belum pun tamat menjadi PM – kerana tanda tangannya tidak lagi laku - tidak mendatangkan kontrek – tidak ramai menteri dan para pembodek yang datang berhari raya di Kepala Batas tahun lalu.

Berilah apa sahaja nama dan darjah penghormatan – dari Tun , Tan atau Tin.– ianya hanya tin-tin yang kosong tidak membawa apa-apa pengertian. Pakaikan baju kuning, merah atau kelabu – pasangkan lah tanjak tujuh tingkat – semuanya tidak ada makna. Hormat datang dari hati.

Pada tahun 1964 Jean Paul Sartre dianugerah Hadiah Nobel Sastera. Dia tidak pun datang mengambil hadiah ini malah Sartre langsung tidak ambil pot. Dia menolak penghormatan yang mengada-ada. Tetapi idea dan falsafah Jean Paul Sartre masih mengegarkan dunia. Idea dan falsafah inilah yang dinobatkan untuk dihormati dari segala bentuk penghormatan yang pura-pura.

Bagitu juga Le Duc Tho yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1973. Dia juga tidak pergi ke Stockholm untuk mengambilnya. Hingga ke hari ini Duc Tho masih di hormati dan diingati sebagai patriot Vietnam yang merangka dan membuka jalan damai untuk negaranya pada tahun 1972.

Justeru apabila ada gerombolan gerombolan yang meloncat mengambur meminta dan memaksa orang ramai agar menghormati raja maka permintaan ini kelihaatan sebagai lawak bodoh. Meminta di hormati, memaksa di hormati atau melembagakan penghormatan bukan penghormatan namanya. Penghormatan datang secara sukarela dari hati suci yang ikhlas dan jujur. Penghormatan yang suci bukan kerana upah, dipaksa, atau dijanjikan dengan pangkat dan kontrek.

Kalau seorang anak sekolah ditarik telinga dan di paksa menghormati Guru Besarnya maka untuk beberapa saat ( ketika telinganya sakit ) mungkin anak sekolah ini akan berkata bahawa dia menghormati si Guru Besar. Terlepas sahaja telinganya dari di pulas, anak sekolah ini bukan sahaja tidak akan menghormati si Guru Besar ini malah besar kemungkinan si Guru Besar akan di baling dengan najis. Ini hakikat.

Bila saya menulis ini - kita telah masuk ke bulan March 2009. Cerita-cerita karut tentang daulat raja, tulah raja, jampi raja – semuanya tidak di percayai lagi. Anak-anak muda hari ini tidak lagi gempaq dengan daulat raja – mereka gempaq dengan penyanyi rock n roll. Anak muda hari ini akan gempaq dengan pemain bola, pemusik, pelakon, pengodam internet atau pembawa kounter culture yang melawan arus. Ini hakikat bukan sahaja di Malaysia malah inilah jalur pemikiran anak muda di seluruh dunia.

Pergi lawati bilik anak muda – tidak mungkin akan di temui gambar Sultan, Raja atau Shah di dinding bilik. Besar kemungkinan akan di temui gambar sebuah kugiran rock, wajah seorang rock star atau mungkin poster Che Guevera. Belum pernah ada dalam dunia ini seorang anak muda yang akan bergadai bergolok untuk mendapatkan baju T gambar seorang Raja – tetapi mereka sanggup ke E-bay untuk membida baju arwah John Lennon yang ori. Ini hakikat kerana kerana kita telah sampai ke tahun 2009.

Raja Moroko, Ratu Elizebeth, Sultan Berunai, Raja Abdulah al-Saud atau Sultan Perak - jika tidak kerana protokol – jika pegawai-pegawai kerajaan tidak di arahkan, jika anak-anak sekolah tidak di paksa - dewan akan kosong. Tidak akan ada ramai orang yang datang memenuhi dewan untuk mendengar susuk-susuk ini berucap.

Sampai kiamat pun anak-anak muda tidak akan membayar harga tiket 200 ratu ringgit untuk mendengar mereka membebel. Tetapi anak-anak muda sanggup turun ke Singapura atau naik ke Bangkok untuk mendengar sebuah rock band datang bermain. Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak, harus sedar diri, pada hari ini tidak ramai lagi orang yang ambil pot kerana nama mereka bermula dengan raja. Ini hakikat tahun 2009.

Masyarakat urban tidak lagi mencari makan dari hasil tanah. Mereka memburuh. Mereka membanting tulang di kilang dan di pabrik. Apabila mereka meninggalkan tanah, berhijrah ke bandar bererti mereka telah memutuskan hubungan dengan budaya feudal. Masyarakat urban melahirkan budaya mereka sendiri – budaya dan gaya hidup yang tidak lagi bergantung kepada raja atau sultan. Dalam budaya urban sistem feudal tidak memainkan peranan.

Memang ada wujud kumpulan kumpulan yang masih menganggap kaum feudal itu wajib dihormati kerana darah keturunan mereka. Kumpulan ini adalah mereka yang ingin menahan gerak dan arus pembudayaan dunia moden hari ini. Malah di Peranchis, sebuah negara Republik masih ada warga yang cuba membawa kembali sistem Beraja di Peranchis. Mereka bernostalgia terhadap zaman feudal yang telah terkambus.

Di Tanah Melayu juga masih ada kumpulan dan gerombolan yang percaya dengan ‘daulat’ raja. Sebenarnya, ini berlaku kerana kepentingan ekonomi mereka bergayut dengan kaum feudal. Mereka ingin memastikan yang kepentingan ekonomi mereka akan dapat dipayungi oleh kaum feudal. Justeru, mereka sanggup membeli derajat kebesaran agar mereka dapat juga dilihat ‘besar’.

Hakikanya - kumpulan dan gerombolan pro-feudal ini dari sehari ke sehari semakin berkurangan. Pengurangan kumpulan dan gerombolan ini bukan di rancang. Pengurangan ini muncul dengan sendiri kerana asas ekonomi telah berubah.

Dalam konteks asas ekonomi kapitalis moden - keupayaan individu dinobatkan bukan kerana darah keturunan. Barack Obama, Micheal Jackson atau Colin Powell berada ditempat mereka berada hari ini bukan kerana mereka cucu kepada Raja Buganda dari Afrika tetapi kerana fikrah dan keilmuan mereka. Ini hakikat.

Ini bukan bermakna kita tidak meghormati Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak. Sebagai sesama insan kita wajib menghormati satu sama lain. Kita juga wajib beradab dan bersopan terhadap mereka. Penghormatan, adab sopan yang kita tunjukkan kepada mereka bukan kerana mereka Raja. Mereka berhak menerima penghormatan dari kita jika mereka memiliki keintelektualan dan fikrah yang unggul.

Perhormatan yang ikhlas dan dilakukan secara sukarela tidak berhujung dan tidak bernoktah. Seperti Che Guevera dari zaman berzaman susuk ini akan terus di muliakan walau pun telah lama mati. Tidak seperti Mahathir yang terpaksa membebel untuk di hormati. Atau seperti Ghazali Shafie atau Muhamad Rahmat yang seperti tunggul pergi tersepak dan pulang terlanggar.(TT)

sumbangan dari mereka yang bekerja menukar tiub.....

No comments:

Post a Comment