Thursday, 10 September 2009
Cerita Kepala Lembu , Taik lembu dan bodoh macam lembu
Ada Apa Dengan Kepala Lembu?
Dulu, masa di Jordan ada dua orang budak perempuan Melayu. Tinggal sebelah rumah gua. Mereka berkawan baik. Berasal dari Melaka.
Dua orang budak ini, ada satu yang sangat menghairankan tentang mereka. Apabila lalu di depan gereja besar di Mafraq, mereka memalingkan muka. Macam takut nampak hantu. Apabila terlihat lambing salib, mereka akan berpaling. Apabila terlihat Pope John Paul di televisyen, mereka akan menukar siaran.
Semasa bekerja di KL dulu, setiap hari Jumaat gua akan ke masjid Sri Petaling. Selain untuk solat Jumaat, di situ ada satu gerai nasi beriani yang power. Jika hari Jumaat tanpa nasi beriani, gua rasa macam kurang lengkap. Tapi itu cerita lain, walaupun gua dah berangan nak sembahyang Jumaat kat situ masa balik sebulan nanti.
Kali pertama ke masjid Sri Petaling ialah sekitar penghujung 2001. Gua hanya pernah mendengar nama tentang masjid yang didirikan oleh jemaah Tabligh, melalui dana kutipan sendiri. Apabila ke sana gua rasa kagum. Masjid yang besar dan luas itu satu factor, tapi lokasi masjid itu sendiri membuatkan gua rasa kagum.
Bagaimana sebuah masjid sebegitu besar, yang setiap minggu menjadi tumpuan para jemaah Tabligh, yang setiap bulan menjadi tempat perkumpulan mereka bermesyuarat dan kadangkala setahun sekali akan mengumpulkan puluhan ribu manusia – boleh didirikan di tengah-tengah kawasan komuniti Cina. Lebih mengujakan, bertentangan dengan masjid itu pula ada sebuah hotel. Terdapat restoran makanan Cina di bawah hotel tersebut dan seluruh Sri Petaling itu majoritinya adalah kedai milik kaum Cina. Kecuali sebuah restoran Arab dan kedai kurmanya serta beberapa buah restoran mamak dan sebuah warung tomyam 24 jam.
Jika ditinjau pula kawasan perumahan di Sri Petaling, gua rasa hampir 90 peratus adalah milik kaum Cina walaupun gua tidak pasti taburan sebenar. Sepanjang 7 tahun di Astro dulu, hampir keseluruhan kawasan Sri Petaling sehinggalah ke Taman OUG ke Jalan Klang Lama telah gua terokai. Bahkan wife gua jugak mengajar di OUG. Memang tiada masjid, kecuali masjid Sri Petaling. Paling hampir ialah di Jalan Klang Lama. Dan kalau hari Jumaat, mereka yang memeriahkan masjid itu adalah golongan pekerja, yang bukannya tinggal di Sri Petaling. Tapi bukan bermakna tiada penduduk beragama Islam cuma mereka adalah minority.
Pada sambutan Aidilfitri tahun lepas, masjid Sri Petaling mengadakan rumah terbuka a.k.a open house dengan slogan menu dari seluruh dunia untuk semua bangsa. Paling ramai yang datang ke masjid ialah para penduduk setempat, majoritinya bangsa Cina yang dengan penuh rasa hormat juga makan secara berasingan kerana masjid itu menyediakan tempat makan khusus untuk lelaki dan wanita. Rupanya AJK masjid mengedarkan flyer ke rumah-rumah penduduk sekitar menjemput mereka menghadiri open house sempena hari raya dan itu bukanlah kali pertama kerana ia telah diadakan saban tahun.
Kadangkala, sehingga ke hari ini gua masih lagi mengkagumi Sri Petaling dan penduduk sekitarnya. Kadangkala sehingga ke hari ini juga gua seringkali tertanya bagaimana sebuah masjid yang sebegitu besar boleh didirikan di kawasan majority penduduk Cina? Bagaimana sebuah masjid yang menjadi “punca” kesesakan jalanraya setiap hari Jumaat tidak mendapat sebarang bantahan penduduk setempat, atau pun pengusaha hotel itu contohnya? Perlu diingat juga, komuniti di Sri Petaling tidak pelik dengan lelaki muda yang berjubah dan berserban membawa tongkat kayu atau pun dengan wanita yang berpakaian serba hitam dan berpurdah. Itu adalah pemandangan biasa buat mereka dan kesemuanya akan selesa berurusan sesama sendiri. Masjid Sri Petaling itu telah menjadi sebahagian daripada komuniti setempat. Bahkan dewan komuniti Sri Petaling yang menjadi tempat pelbagai kegiatan penduduk setempat juga adalah kawasan yang connected dengan masjid itu sendiri.
Gua rasa satu hari nanti gua ingin menjemput dua budak perempuan yang pernah menjadi jiran gua di Jordan dulu untuk bertandang ke Sri Petaling dan masjidnya. Juga makhluk Tuhan di Shah Alam kelmarin yang sanggup “diperbodohkan” mengarak kepala lembu. Satu penghinaan bukan sahaja kepada kepercayaan satu agama lain, tapi juga kepada makanan kerana lidah dan otak lembu itu masih boleh dimasak untuk habuan perut mereka sendiri.
cerita ini kudengar dari rakan ku "babazahra" orang jelebu yang sukakan musik blues
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment